Sejarah Sekolah
Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra bermula sebagai Sekolah Menengah Sains Kelantan (SMSK), yang ditubuhkan pada tahun 1973 di bawah Rancangan Malaysia Kedua sebagai salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri Kelantan. Sekolah ini dibuka secara rasmi dengan enam buah kelas dan sebelas orang guru, sebelum berpindah ke kampus tetapnya di Pengkalan Chepa pada awal tahun 1974.
Pada tahun 1986, sekolah ini dinamakan semula sebagai Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, sempena nama Tengku Mahkota Kelantan pada ketika itu yang kemudiannya menaiki takhta sebagai Sultan Kelantan. Sekolah ini mencipta pelbagai kejayaan, antaranya pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (2011), status SBP Premier (2012) dan status IB Middle Years Programme World School (2016). Warga sekolah dan alumninya mesra dengan gelaran “Faris Petra”.
Sejarah Persatuan Alumni
Badan alumni sekolah ini pada awalnya dikenali sebagai SEMESTA, sebelum dijenamakan semula sebagai FARISAINS pada tahun 2009, dan seterusnya sebagai Alumni FARIS PETRA pada tahun 2012.
Nama penuh dan rasmi persatuan ialah Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Malaysia. Ia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertaraf kebangsaan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor pendaftaran PPM-001-10-29031996. Nama singkatan rasmi “ALUMNI FARIS PETRA” atau “FARIS PETRA” digunakan dalam program, penerbitan dan komunikasi persatuan. Pejabat berdaftarnya terletak di Pejabat Alumni Faris Petra, SMSTMFP, Pengkalan Chepa, 16100 Kota Bharu, Kelantan.
Persatuan ini menghimpunkan bekas pelajar, bekas guru, serta bekas pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah. Ini termasuk mereka yang menuntut ketika sekolah masih dikenali dengan nama terdahulu, Sekolah Menengah Sains Kelantan. Matlamat persatuan ialah:
- menyatupadukan warga alumni
- menjalankan aktiviti yang menaikkan imej dan reputasi sekolah
- memberi dorongan dan bimbingan kepada pelajar
- mengikuti perkembangan dan pencapaian sekolah
- memupuk perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan ahli
Cogan kata persatuan, KEMBALI BERBAKTI, ialah seruan kepada seluruh bekas penuntut, guru dan pentadbir sekolah agar bekerjasama melalui satu pertubuhan untuk kembali berbakti kepada Sekolah, Agama, Bangsa dan Negara. Lambang persatuan diilhamkan daripada lencana sekolah. Bulatan enam belas lekuk yang mengelilinginya melambangkan penyatuan bekas pelajar di 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan.
